Suatu realiti:
Fenomena menunjukkan ramai orang yang menunaikan sembahyang sekadar mengikut takrif, iaitu perbuatan-perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.
Matlamat ibadah sembahyang
Fenomena menunjukkan ramai orang yang menunaikan sembahyang sekadar mengikut takrif, iaitu perbuatan-perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.
Jika mengikut takrif, seseorang yang telah
menyempurnakan kesemua dua belas rukun itu dengan tertibnya dan cukup
syarat-syaratnya dikatakan telah menunaikan
sembahyang, sembahyangnya sah, dan tertegaklah zat sembahyang. Inilah sembahyang yang menjadi amalan kebanyakan
orang.
Namun, adalah menjadi kebiasaan kita mendirikan
sembahyang dengan memasukkan sekali
perkara-perkara yang sunat, misalnya selepas takbiratul ihram, kita membaca doa iftitah, selepas Fatihah, membaca satu surah pendek dari al-Quran, dan ketika bergerak untuk menukar
rukun, contohnya dari keadaan berdiri kepada rukuk, dan lain-lain, disunatkan
pula melafazkan takbir Intiqalat Allahu akbar, kecuali bagi pergerakan dari kedudukan rukuk kepada bangkit berdiri
untuk iktidal, lafaz ini digantikan dengan
lafaz Sami’ Allahu-liman hamidah.
Ini menjadi-kan keseluruhan zat
sembahyang kita tertegak dengan
menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya dan disertakan dengan bacaan-bacaan yang
sunat. Inilah yang menjadi amalan kita.
Namun, apakah itu yang dikatakan sembahyang
dalam ertikata yang sebenar-benarnya, dan yang Allah swt ingin kita tunaikan? Dengan kata lain
apakah sembahyang itu hanya sebagai aktiviti menyempurnakan 13 rukun itu
sahaja?
Kita
sering didengarkan bacaan satu ayat al-Quran yang maksud-nya Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang mencegah (perbuatan) keji dan mungkar (al-Ankabut, 45). Ayat ini menggambarkan bahawa ibadah
sembahyang dikaitkan dengan perbuatan keji dan mungkar
Dengan kata lain ialah bahawa ayat ini membayangkan yang ibadah sembahyang adalah berkait dengan kehidupan, kerana perbuatan keji dan mungkar itu adalah antara
perkara-perkara yang terdapat dalam kehidupan. Di celah-celah aktiviti kehidupan itulah timbul perkara-perkara
keji dan mungkar. Perkara-perkara keji dan mungkar tidak hadir ketika
mendirikan sembahyang. Secara tidak langsung ayat di atas ini menggambarkan
konsep sembahyang yang dikehendaki oleh Allah swt, iaitu ada kaitannya dengan
kehidupan seharian.
Satu ayat lain menyebut maksudnya Dirikanlah
sembahyang untuk mengingati-Ku (Toha: 14). Dengan jelas ayat ini menunjukkan
bahawa sembahyang adalah ibadah untuk mengingati
Allah swt
Dengan dua ayat ini bolehlah disimpulkan bahawa ibadah sembahyang kita
bukanlah sebagai ibadah untuk ditunaikan sahaja tetapi ada tujuannya. Yang
pertama itu tujuannya adalah berkait dengan kehidupan manakala yang kedua
berkait dengan soal ketuhanan.
Di samping yang dua ini tadi, kiita juga sering mendengar
ungkapan yang menyebut sembahyang adalah
tiang agama, apakah yang dimaksudkan itu
Misalnya, dari Muaz ra
katanya Rasulullah saw pernah bersabda, yang maksudnya, Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah sembahyang, dan
puncaknya adalah jihad (Riwayat Muslim). Kita lihat hadis ini menyebut
dengan jelas bahawa sembahyang adalah tiang
bagi segala urusan.
Bila disebut segala urusan, bermaksud mencakupi segala
bidang kehidupan termasuk ekonomi, politik, perundangan, sosial, hiburan, kesukanan, kekeluargaan, kemasyarakatan, dan
sebagai-nya, iaitu urusan hidup. Dan apabila
disebut tiangnya adalah sembahyang,
menggambarkan bahawa sembahyang kita adalah tonggak atau asas bagaimana caranya
menjalankan segala urusan. Sekali lagi kelihatannya hadis ini menyatakan
tentang kaitan ibadah sembahyang dengan hal-hal keinsanan itu tadi.
Ilmu fiqh pula mengajar bahawa sembahyang adalah salah
satu Rukun Islam. Dalam kamus, Rukun bererti asas
atau tonggak, dan jika dilihat kembali hadis di atas tadi menyebut
bahawa Islam adalah pokok segala urusan. Justeru dapatlah kita lihat bahawa ibadah sembahyang dalam ertikata yang lebih tepat adalah
yang ditunaikan untuk mencapai sesuatu tujuan atau matlamat, bukanlah sekadar
untuk didirikan, dan selepas itu tidak ada apa-apa lagi.
Malangnya, fenomena menunjukkan ramai yang mengamalkan sembahyang hanya mengikut
takrifnya itu tadi sahaja. Tidak hairanlah jika sikap
dan tindak tanduknya kurang peduli dengan perkara-perkara yang keji dan
mungkar, dan sebagainya, yang berkait dengan
keinsanan.
No comments:
Post a Comment