Thursday, August 29, 2019

Hakikat ibadah sembahyang

Suatu realiti:
Fenomena menunjukkan ramai orang yang menunaikan sembahyang sekadar mengikut takrif, iaitu perbuatan-perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Jika mengikut takrif, seseorang yang telah menyempurnakan kesemua dua belas rukun itu dengan tertibnya dan cukup syarat-syaratnya dikatakan telah menunaikan sembahyang, sembahyangnya sah, dan tertegaklah zat sembahyang. Inilah sembahyang yang menjadi amalan kebanyakan orang.
Namun, adalah menjadi kebiasaan kita mendirikan sembahyang dengan memasukkan sekali perkara-perkara yang sunat, misalnya selepas takbiratul ihram, kita membaca doa iftitah, selepas Fatihah, membaca satu surah pendek dari al-Quran, dan ketika bergerak untuk menukar rukun, contohnya dari keadaan berdiri kepada rukuk, dan lain-lain, disunatkan pula melafazkan takbir Intiqalat Allahu akbar, kecuali bagi pergerakan dari kedudukan rukuk kepada bangkit berdiri untuk iktidal, lafaz ini digantikan dengan lafaz Sami’ Allahu-liman hamidah. Ini menjadi-kan keseluruhan zat sembahyang kita tertegak dengan menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya dan disertakan dengan bacaan-bacaan yang sunat. Inilah yang menjadi amalan kita.
Namun, apakah itu yang dikatakan sembahyang dalam ertikata yang sebenar-benarnya, dan yang Allah swt ingin kita tunaikan? Dengan kata lain apakah sembahyang itu hanya sebagai aktiviti menyempurnakan 13 rukun itu sahaja?
Matlamat ibadah sembahyang
Kita sering didengarkan bacaan satu ayat al-Quran yang maksud-nya Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang mencegah (perbuatan) keji dan mungkar (al-Ankabut, 45). Ayat ini menggambarkan bahawa ibadah sembahyang dikaitkan dengan perbuatan keji dan mungkar

Dengan kata lain ialah bahawa ayat ini membayangkan yang ibadah sembahyang adalah berkait dengan kehidupan, kerana perbuatan keji dan mungkar itu adalah antara perkara-perkara yang terdapat dalam kehidupan. Di celah-celah aktiviti kehidupan itulah timbul perkara-perkara keji dan mungkar. Perkara-perkara keji dan mungkar tidak hadir ketika mendirikan sembahyang. Secara tidak langsung ayat di atas ini menggambarkan konsep sembahyang yang dikehendaki oleh Allah swt, iaitu ada kaitannya dengan kehidupan seharian.

Satu ayat lain menyebut maksudnya Dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku (Toha: 14). Dengan jelas ayat ini menunjukkan bahawa sembahyang adalah ibadah untuk mengingati Allah swt

Dengan dua ayat ini bolehlah disimpulkan bahawa ibadah sembahyang kita bukanlah sebagai ibadah untuk ditunaikan sahaja tetapi ada tujuannya. Yang pertama itu tujuannya adalah berkait dengan kehidupan manakala yang kedua berkait dengan soal ketuhanan.
Di samping yang dua ini tadi, kiita juga sering mendengar ungkapan yang menyebut sembahyang adalah tiang agama, apakah yang dimaksudkan itu

Misalnya, dari Muaz ra katanya Rasulullah saw pernah bersabda, yang maksudnya, Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah sembahyang, dan puncaknya adalah jihad (Riwayat Muslim). Kita lihat hadis ini menyebut dengan jelas bahawa sembahyang adalah tiang bagi segala urusan.
Bila disebut segala urusan, bermaksud mencakupi segala bidang kehidupan termasuk ekonomi, politik, perundangan, sosial, hiburan, kesukanan, kekeluargaan, kemasyarakatan, dan sebagai-nya, iaitu urusan hidup. Dan apabila disebut tiangnya adalah sembahyang, menggambarkan bahawa sembahyang kita adalah tonggak atau asas bagaimana caranya menjalankan segala urusan. Sekali lagi kelihatannya hadis ini menyatakan tentang kaitan ibadah sembahyang dengan hal-hal keinsanan itu tadi.
Ilmu fiqh pula mengajar bahawa sembahyang adalah salah satu Rukun Islam. Dalam kamus, Rukun bererti asas atau tonggak, dan jika dilihat kembali hadis di atas tadi menyebut bahawa Islam adalah pokok segala urusan. Justeru dapatlah kita lihat bahawa ibadah sembahyang dalam ertikata yang lebih tepat adalah yang ditunaikan untuk mencapai sesuatu tujuan atau matlamat, bukanlah sekadar untuk didirikan, dan selepas itu tidak ada apa-apa lagi.
Malangnya, fenomena menunjukkan ramai yang mengamalkan sembahyang hanya mengikut takrifnya itu tadi sahaja. Tidak hairanlah jika sikap dan tindak tanduknya kurang peduli dengan perkara-perkara yang keji dan mungkar, dan sebagainya, yang berkait dengan keinsanan.

No comments:

Post a Comment